GOTONG ROYONG DAPAT MEWUJUDKAN HUBUNGAN SILATURRAHIM DALAM KALANGAN KAUM
GOTONG ROYONG DAPAT
MEWUJUDKAN HUBUNGAN SILATURRAHIM DALAM KALANGAN KAUM
Isu perpaduan
kaum merupakan satu usaha berterusan yang perlu dipikul dan dijunjung
bersama-sama oleh semua pihak. Sekiranya terlerai ikatan silaturahim dan musnah
perpaduan dalam masyarakat, nescaya pelbagai impak negatif akan menimpa
masyarakat khususnya dan negara amnya. Oleh sebab itu, pelbagai usaha perlu
diambil bagi memupuk dan membaja agar perpaduan terus subur dan mewangi dalam
kehidupan masyarakat sekali gus mengelakkan peristiwa hitam 13 Mei 1969
daripada berulang kembali.
Antara usaha
yang boleh dilakukan dalam untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan masyarakat
adalah dengan mengadakan aktiviti gotong-royong. Aktiviti gotong-royong
merupakan saluran dan peluang kepada masyarakat di sesuatu kawasan perumahan
untuk bertemu dan mengenali antara satu sama lain. Di samping itu, aktiviti ini
dapat memupuk semangat bekerjasama untuk membersihkan dan mengindahkan kawasan
persekitaran tempat kediaman mereka. Sebagai contoh, aktiviti gotong-royong
yang boleh dijalankan ialah kerja-kerja membersihkan kawasan perumahan, taman
permainan, tanah perkuburan dan sebagainya. Gotong-royong juga dapat
meringankan serta memudahkan kerja yang sukar dilakukan, ibarat kata peribahasa “yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing serta ke
bukit sama di daki, ke lurah sama dituruni”.
Gotong-royong
dapat merapatkan ahli masyarakat kepada nilai-nilai murni yang suci. Rasa
kekitaan, rasa prihatin, dan penyayang sesama individu dalam masyarakat akan
membantu hasrat kerajaan untuk negara mara lebih ke depan dalam era globalisasi
ini malah memartabatkan konsep Islam sendiri. Ini berdasarkan kesan positif
gotong-royong yang sebenarnya membantu menangani gejala-gejala buruk dalam
masyarakat seperti penagihan dadah dan kecurian, lebih-lebih lagi gotong-royong
melibatkan penglibatan menyeluruh ahli masyarakat. Konsep gotong-royong
merupakan satu konsep yang dianggap unsur terpenting dalam kebudayaan
masyarakat kita sejak dahulu. Semua pihak memahami kepentingan amalan ini
diamalkan terutama ketika kegawatan ekonomi melanda sesebuah negara itu. Amalan
yang sudah begitu lama tertanam dalam naluri masyarakat kita mula dilupakan
terutama oleh kalangan remaja kita.
Kebaikan mengamalkan amalan gotong-royong atau bekerjasama ini dapat mewujudkan semangat positif antara ahli masyarakat terutama untuk memastikan sesuatu tugasan itu mampu dilaksanakan dengan berkesan. Amalan ini memberikan satu semangat kepada masyarakat bahawa tugasan itu walau berat pun akan mampu diselesaikan dengan begitu baik sekali kerana semua pihak menghulurkan bantuan. Keadaan ini menjadikan semua perkara yang dialami oleh masyarakat dapat diatasi dalam masa yang singkat dan mudah sahaja. Jelaslah, amalan ini memberikan satu suntikan baru tentang konsep bekerjasama antara masyarakat terutama di kawasan urbanisasi.
Comments
Post a Comment